Immediate Family
-
brother
-
brother
-
brother
-
stepmother
-
half brother
-
half brother
About Sultan Nasruddin [Sultan Brunei ke-15, 1690-1710]
15. SULTAN NASRUDDIN (TM 1690 - 1710)
Baginda adalah putera sulung kepada Pg Muda Besar Abdullah dengan pasangannya Pg Anak Puteri Besar. Baginda ialah cucunda kepada Al-Marhum Sultan Abdul Jalilul Akbar [Sultan Brunei ke-10, 1598-1659] manakala di sebelah ibunda baginda juga cucunda kepada Al-Marhum Sultan Abdul Hakkul Mubin [Sultan Brunei ke-13, 1661-1673]. Pada masa zaman baginda, seorang anak Minangkabau bernama Dato Godam yang berasal daripada anak cucu Bendahara Tanjung Sungayang, Pagar Royong, Sumatera telah datang ke Brunei. Baginda dibunuh pada tahun 1710 maka dikenali dengan Marhum Kianggeh (lindung di Kianggeh). Disebutkan, Sultan Nasruddin ini adalah seorang Sultan yang bijak dan sangat berminat terhadap pentadbiran dan pemerintahan negeri. Pada zaman pemerintahan Sultan Muhyiddin [Sultan Brunei ke-14, 1673-1690] dahulu, selain Raja Bendahara bagindalah yang banyak membantu dan memberikan kerjasama dalam perkara-perkara berkaitan dengan pengurusan dan pemerintahan negeri. Manakala dalam peperangan Pulau Chermin (Perang Saudara) yang berlaku selama 12 tahun, baginda telah menumpukan masa baginda membantu Sultan Muhyiddin dalam berfikir dan mengatur strategi orang-orang yang hendak berperang. Sebab itulah tidak menjadi kehairanan jika baginda dipilih menjadi Sultan, kerana pertama Raja Bendahara yang ditimang-timang bakal menjadi Sultan terlebih dahulu telah mangkat, dan kedua ayahanda baginda Pg Muda Besar Abdullah ibni Sultan 'Abdul Jalilul Akbar adalah putera tua lagi gahara yang memang layak menjadi Sultan menurut Adat Istiadat Diraja Brunei turun-temurun. Inilah makanya kebesaran takdir Allah Subhanahu wa Ta'ala bahawa yang hak itu akan kembali kepada yang berhak.
Adalah disebutkan sebelum ini, lebih kurang pada tahun 1691, seorang anak Minangkabaui bernama Dato Godam yang berasal daripada anak cucu Bendahara Tanjung Sungayang, Pagar Royong, Sumatera telah datang ke Brunei. Menurut riwayatnya Bendahara Harun ayah Dato Godam ini telah berkahwin dengan seorang perempuan Belanda keluarga Groenewegen, hasil perkahwinan itu telah beranakkan Dato Godam. Ketika diam di Sarawak, Dato Godam telah berjumpa dan berkenalan dengan orang Brunei bernama Pg Temenggong Pg Abdul Kadir yang telah mengundurkan diri dari Brunei ke Sarawak, kerana anak perempuannya telah dikehendaki oleh Sultan Nasruddin (mungkin untuk dijadikan isteri kedua iaitu madu Pg Isteri). Menurut lazimnya menjadi mertua kepada Sultan itu adalah suatu penghormatan, tetapi bagi Pg Temenggong Pg Abdul Kadir, ia telah mendatangkan dukacita dan menimbulkan perasaan kurang senang serta tidak sedap rasa menelan kasih ibarat makan makanan yang lazat berisi duri. Kesedihan dan ketidaksenangan Pg Temenggong Pg Abdul Kadir ini timbul kerana mendengar berita keadaan Pg Isteri (sebutan kepada isteri raja/sultan sebelum berpuspa) yang menjadi madu anak perempuannya itu sentiasa dalam keadaan masyghul dan berdukacita disebabkan oleh perkahwinan tersebut. Tatkala Pg Temenggong Pg Abdul Kadir mengadap Sultan Nasruddin, ia telah berdatang sembah menjunjung anugeraha untuk membawa perasaan pilu bercampur segan kepada Sultan Nasruddin, dan baginda merasa terharu kerana sembah Pg Temenggong Pg Abdul Kadir itu telah menggambarkan perasaan isi hatinya yang sangat menyayat dan mendatangkan kesan yang dalam kepada baginda, tetapi baginda tidak berdaya hendak mengelak perkara itu, melainkan baginda memperkenankan dengan perasaan sayu dan terharu.
Pada masa Sultan Nasruddin bertitah menanyakan maksud Pg Temenggong Pg Abdul Kadir itu datang mengadap, Pg Temenggong Pg Abdul Kadir dengan perasaan yang terharu berdatang sembah jika tidak menjadi kemurkaan baginda, ia hendak menjunjung anugeraha bertukar angin ke Sarawak. Kemudian sembahnya lagi: "Bukan patik inda bersyukur di atas anugeraha kasih sayang, jauh sekalian disangkal kerana nyata dipandang ramai. Inda dapat dilupakan waktu abis patik hanyut di sungai, macam sampar hanyut dibawa aying, duli tuan patik memungut ke istana. Bukan diampai-ampaikan, ditaruh di atas panggau peraduan. Kata orang tua-tua, kalau disebut istana, jangankan emas dan perak, candas gagawi lagi mulia, apatah lagi di atas panggau. Hanya munkan ampun, ibarat makan makanan lazat, sekali makan duri merait. Nyaman pebaik makanan atu, tapi perut kenyang rasa gelisah. Iatah patik mengadap, akan menjunjung anugeraha beralih angin ke Sarawak membawa rasa yang dideritai." Setelah mendengar sembah Pg Temenggong Pg Abdul Kadir yang bercampur hiba itu, Sultan Nasruddin pun terdiam, dan baginda dapat menyaloki (memahami) maksudnya. Kemudian baginda pun bertitah dengan perlahan-lahan: "Beta faham maksud tuan peramba, tapi jangan saja batah". Menurut salasilah, Pg Temenggong Pg Abdul Kadir ini ialah anak Pg Sidewa Maharaja ibni Pg Temenggong Pg Anak Mahmud dan merupakan cicit kepada Al-Marhum Sultan Saiful Rizal [Sultan Brunei ke-7, 1533-1581]. Hasil daripada perkenalan dengan Pg Temenggong Pg Abdul Kadir inilah yang mendorong dan menggalakkan Dato Godam datang ke Brunei. Dato Godam yang mendapat didikan budaya dan ilmu pengetahuan daripada ibunya itu, menjadikan dirinya mudah bergaul dan dialu-alukan kedatangannya oleh Sultan Nasruddin dengan baik, kerana baginda amat suka kepada orang yang berilmu pengetahuan dan bercita-cita untuk mendapatkannya. Baginda memaklumi bahawa sesuatu kebaikan yang akan dilakukan untuk bangsa dan negeri sangat-sangat bergantung kepada orang-orang yang bijak, jujur, amanah dan bersungguh-sungguh menjalankan kewajipan dan tanggungjawab. Sebab itu setelah baginda mengetahui latar belakang dan kedudukan Dato Godam ini sangat bersesuaian dengan apa yang dimaksud dan dicita-citakan oleh baginda.
Perkenalan Sultan Nasruddin dengan Dato Godam ini dari semasa ke semasa adalah semakin rapat dan mesra, kerana menurut pemerhatian baginda, ketika menyembahkan nasihat mengenai hal ehwal pentadbiran dan pemerintahan negeri adalah jujur dan difahami kebaikannya, dan daripada perwatakan, tingkah laku dan budi bahasa yang ditunjukkan pula, baginda yakin bahawa Dato Godam ini adalah berasal daripada purih yang baik. Akhirnya apabila sangkaan baginda itu terbukti benar, maka persahabatan baginda dengan Dato Godam itupun semakin akrab, lebih-lebih lagi pada masa itu Brunei khasnya baginda amat memerlukan orang-orang bijak pandai dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kerana kedudukan baginda pada masa itu boleh dikatakan banyak menghadapi masalah. Pada zahirnya, Sultan Nasruddin ini menaiki takhta adalah atas kehendak dan sokongan beberapa orang putera Sultan yang gahara, dan pembesar-pembesar Diraja yang menyembahkan taat setianya tidak berbelah bahagi kepada rajanya. Semua ini berlaku kerana berdasarkan kedudukan ayahandanya, Pg Muda Besar Abdullah memang berhak menjadi Sultan, sebab Pg Muda Besar Abdullah itu putera Sultan yang tua lagi gahara, tetapi tidak sempat menaiki takhta, kerana wasiat Sultan 'Abdul Jalilul Akbar telah menyerahkan takhta itu kepada putera muda baginda Pg Muda 'Abdul Jalilul Jabbar (Sultan 'Abdul Jalilul Jabbar). Dengan sebab itulah Sultan Nasruddin merasa kurang senang atau masih ragu terhadap kedudukan baginda selaku Sultan, kerana baginda menaiki takhta kerajaan bukan selaku putera Sultan. Tambahan pula menurut Adat Istiadat Diraja Brunei, baginda belum berhak menaiki takhta kerajaan selagi putera Sultan yang gahara masih ada. Tetapi walau bagaimanapun, memandang kepada jasa dan kebijaksanaan serta kecerdasan baginda dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran negeri, kebanyakan daripada putera-putera Sultan yang layak menjadi Sultan itu sendiri, sentiasa memberikan sokongan kepada baginda dengan tulus ikhlas, maka inilah yang menjadi kunci, di samping bertawakal kepada Allah untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawab kepada baginda itu.
Sungguhpun begitu, ibarat pepatah orang tua-tua, laut mana tak bergelombang bumi mana tak ditimpa hujan, dalam masa baginda menjalankan pemerintahan negeri itu, terdapat juga desas-desus dan keulahan sebahagian daripada putera-putera Sultan yang gahara memperlihatkan tingkahlaku yang kegilaan-gilaan bahasa yang mengandungi makna bahawa mereka adalah orang yang lebih layak menjadi Sultan, tetapi perkara ini tidak dihiraukan oleh Sultan Nasruddin, malah keadaan ini merupakan perangsang dan dorongan yang kuat dan mantap kepada baginda untuk mengambil perhatian berat terhadap pentadbiran dan pemerintahan negeri yang diamanahkan oleh seluruh rakyat yang menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada baginda, dan secara kebetulan pula persahabatan rapat baginda dengan Dato Godam yang mempunyai persamaan kecendorongan dan cita-cita itu merupakan hikmat dan rahmat Allah kepada baginda. Tatkala Sultan Nasruddin bertitah kepada Dato Godam menjelaskan tentang sesuatu kesukaran dalam menjalankan pemerintahan disebabkan oleh gangguan keulahan dan perangai putera-putera Sultan yang mempunyai pengaruh dalam kalangan masyarakat. Maka Dato Godam telah berdatang sembah memberikan buah fikiran dan nasihat kepada baginda, iaitu berdasarkan pengalaman bahawa keadaan sedemikian dapat diatasi dengan mengadakan penyelidikan terhadap perkara yang berkenaan untuk mengetahui perihal kemahuan masing-masing. Hasil daripada penyelidikan itu sembah Dato Godam, dapat dijadikan asas atau panduan untuk menentukan gelaran yang akan dikurniakan, sesuai dengan tugas yang sebanding dengan kebolehan masing-masing. Di samping itu disembahkan juga oleh Dato Godam, setiap kampung dan daerah yang di bawah kuasa putera-putera Sultan itu, dilantik juga ketua-ketua bagi kampung dan daerah tersebut dan mereka itu dikurniakan pangkat sesuai dengan tanggungjawab masing-masing berdasarkan hukum-hukum Islam dan dasar-dasar yang ditentukan oleh pemerintahan negeri. Dengan cara ini sembah Dato Godam, tiap-tiap orang yang dilantik itu akan menjalankan kewajipan mereka menurut tugas-tugas yang telah diaturkan tanpa teragak-agak. Menerusi peraturan ini juga sembah Dato Godam, akan menggalakkan para pembesar negeri, masing-masing akan dapat memikirkan sendiri sesuatu masalah yang dihadapi oleh mereka. Bagi orang-orang yang dikurniakan gelaran sembah Dato Godam, ditentukan had kuasa yang boleh mereka putuskan sendiri tanpa menghadapkan kepada orang lain, tetapi dipersyaratkan supaya mereka menjalankan sendiri perkara itu dengan jujur, licin dan adil.
Adalah diceritakan, perkara yang menyebabkan Sultan Nasruddin sangat sayang kepada Dato Godam, bukan hanya kerana beliau itu telah banyak memberi pertolongan dalam mengatur pemerintahan negeri yang terbukti kebaikan dan faedahnya, tetapi yang sangat berkesan di hati sanubari baginda bahawa nasihat yang disampaikan itu adalah tulus, ikhlas dan besungguh-sungguh seolah-olah pada baginda bahawa Dato Godam itu bukan lagi sebagai orang asing atau pendatang baru, tetapi adalah orang sendiri yang berjasa menumpahkan taat setia kepada Sultan yang diibaratkan di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Maka untuk menyatakan terima kasih di atas kemesraan, kebaikan, sumbangan yang telah dihulurkan oleh Dato Godam itu, Sultan Nasruddin pernah bertitah kepada Dato Godam supaya menetap di Brunei dan meminta apa sahaja yang dimaksudkannya termasuklah dalam memilih isteri, sekalipun isteri baginda sendiri yang dipilih, baginda akan melepaskannya. Mendengar titah sedemikian itu, Dato Godam terasa terharu dan sukar untuk berdatang sembah, kerana beliau ingat kepada pepatah datuk nenek beliau seolah-olah gendang ditarikan, tetapi Sultan Nasruddin tetap juga dengan hasrat baginda meminta supaya Dato Godam tidak ragu-ragu terhadap sesuatu yang dihajatinya.
Sultan Nasruddin terkenal sebagai sultan yang pemurka tetapi bijak dalam menjalankan pemerintahan. Menurut sumber, baginda mempunyai 2 orang isteri (tidak diketahui nama-nama) dan seorang tunang bernama Pg Kachi @ Dyg Chee (anak perempuan kepada Pg Temenggong Pg Abdul Kadir). Tetapi tunang baginda ini akhirnya di sunting oleh Dato Godam sebagai permintaannya kerana baginda berhutang budi lalu diserahkan kepada Dato Godam. Menurut sejarah Brunei, diriwiyatkan bahawa Dato Godam mempunyai peranan yang istimewa dalam membantu Sultan Nasruddin menjalankan pemerintahan dan pentadbiran baginda. Sebagai mengingati jasa-jasa beliau itu, baginda telah berjanji akan mengurniakan keistimewaan kepada anak cucu Dato Godam yang ada di Brunei turun-temurun. Salasilah Raja-Raja Brunei versi Datu Imam Yaakub ada menyebutkan sejak zaman pemerintahan Sultan Muhammad Hasan hingga Sultan-Sultan sesudah baginda, terutama dalam zaman-zaman pemerintahan Sultan Nasruddin sendiri, pelabuhan Brunei termasyhur kepada peniaga-peniaga asing kerana Rajanya sangat memelihara dagangan dan bekerjasama dengan peniaga-peniaga itu mengeluarkan barang-barang dagangan mereka ke pasaran tempatan untuk diperniagakan kepada rakyat jelata.
Terdapat juga riwayat mengatakan, Sultan Nasruddin ini disebutkan juga dengan nama Sultan Malar Rambang yang bercengkarama (berdudun) bersama-sama Pg Bendahara di tepi Sungai Brunei, dan telah berjumpa sebiji 'telur' yang dibungkus dengan 'kain jongsarat' yang di dalamnya itu dipelihara oleh baginda sebagai putera sendiri, dan keturunan kanak-kanak inilah yang disebutkan 'Peampuanan Brunei'. Pada masa Sultan Nasruddin ini memerintah, baginda telah disaingi oleh saudara lelakinya Pg Temenggong Pg Muda Shamsuddin ibni Sultan Abdul Jalilul Jabbar dengan alasan bahawa dirinya lebih layak menjadi Sultan, kerana ia putera Sultan yang gahara, berbanding dengan Sultan Nasruddin hanya putera Pg Muda Besar Abdullah. Untuk mengelakkan perkara ini tidak ketara, Pg Temenggong Pg Muda Shamsuddin telah berpindah ke suatu tempat bernama 'Gayoh' dekat Kampung Salambigar, dan di sana ia telah mengisytiharkan dirinya menjadi Pg Temenggong Raja di Gayoh. Disebutkan, Pg Temenggong Raja di Gayoh ini adalah seorang gagah perkasa, mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi, sehingga boleh berjalan di atas bara api.
Kejadian dan perilaku yang diisyaratkan oleh Pg Temenggong Raja di Gayoh bagi menyatakan ketidakpuasan hati itu, amat merungsingkan hati Sultan Nasruddin, dan baginda telah berusaha untuk membenterasnya dengan menitahkan seorang yang bernama Rajid bin Orang Kaya Kasim ibni Sultan Saiful Rizal untuk melawan dan membunuhnya. Tatkala Si Rajid ini berhadapan dengan Pg Temenggong Raja di Gayoh, timbul rasa kekhuatirannya, kerana terasa dalam firasatnya bahawa ilmu Pg Temenggong Raja di Gayoh ini amat tinggi susah hendak 'ditandingi'. Oleh itu iapun mencari helah, iaitu sebelum mengadakan perlawanan ia (Si Rajid) telah menjunjung Pg Temenggong Raja di Gayoh 'santap' sikoi yang dibelah dengan sebelah parangnya yang dibubuhinya racun. Maka bahagian sikoi yang beracun itulah yang disembahkannya kepada Pg Temenggong Raja di Gayoh. Setelah memakan sikoi itu Pg Temenggong Raja di Gayoh pun mangkat pada 1707, dan tidak lama jaraknya Sultan Nasruddin pun lindung pada tahun 1710.
Menurut ahli sejarah, Sultan Nasruddin ini selain berminat dalam mengatur dan menyusun hal ehwal pemerintahan, baginda juga menaruh minat dalam memajukan perekonomian, perdagangan dan perniagaan, justeru itulah baginda telah mengeluarkan mata wang yang dibuat daripada emas ke Padian untuk diniagakan, kerana itulah pada zaman pemerintahan baginda itu negeri Brunei aman makmur, dan segala dagang santeri pun datang berurus niaga, dan segala harta serta barang dagangannya tidak binasa. Pada masa Sultan Nasruddin lindung pada tahun 1710 itu, oleh kerana Pg Digadong Pg Muda Shah Mubin ibni Sultan Muhyiddin waktu itu telah mangkat, dan baginda tidak berputera, maka takhta kerajaan pun digantikan oleh ayahanda sepupu baginda Pg Muda Husin Kamaluddin ibni Sultan Hj Muhammad Ali bergelar Sultan Husin Kamaluddin, kerana semasa penentukan pengganti Sultan, Sultan Husin Kamaluddin ini ialah waris yang tertua dan layak.
Cerita asal kemangkatan Sultan Nasruddin ini tidak diketahui, tetapi menurut cerita lisan daripada orang tua-tua pada suatu malum tatkala beberapa orang pembesar Negara duduk bercerita-cerita di pantaran, kedengaran oleh mereka ada seseorang yang sedang bersyair sambil berkayuh, "Tengah malam waktunya sunyi, di darat makam kijang berbunyi, timbul bungkang dengan pelangi, alamat hilang makhota negeri". Mendengar syair tersebut maka mereka pun mengarik (memanggil) orang yang bersyair itu dan bertanya siapa yang menyuruh bersyair seperti itu, dan dari mana mendengar cerita tersebut, dan apakah benar Sultan Nasruddin telah lindung? Jawab orang yang bersyair itu "Ya, memang benar Sultan Nasruddin memang telah lindung". Lalu merekapun mengarahkan beberapa orang untuk mendapatkan kebenaran berita tersebut. Apabila diselidiki memang benar bahawa Sultan Nasruddin telah lindung. Walau bagaimanapun tidak diketahui akan sebab-sebab baginda itu lindung, tetapi seperti ada pertelingkahan yang berlaku sehingga membawa kepada lindungnya Sultan Nasruddin itu. Boleh jadi juga disebabkan mengenai penggantinya, dan besar kemungkinan juga baginda dibunuh tetapi tidak diketahui siapa pembunuhnya. Ada juga yang berpendapat seakan-akan ada pergaduhan berlaku dan mungkin juga pergaduhan tersebut ada hubungkaitnya dengan perebutan kuasa takhta kerajaan.
والله أعلمُ
Sultan Nasruddin, eldest son of Pg Muda Besar Abdullah ibni Al-Marhum Sultan Abdul Jalilil Akbar, educ. privately. Proclaimed himself Sultan on the death of his paternal uncle in 1690. The first monarch to introduce gold coinage into his realm. He was killed at Kianggeh, 1710.
Sultan Nasruddin [Sultan Brunei ke-15, 1690-1710]'s Timeline
1710 |
1710
|
||
???? | |||
???? |
Makam Diraja Pengkalan Tarap, Kg. Kianggeh
|